Wednesday 14 March 2012

aku sebuah basikal

Aku berasal dari ‘Negara Matahari Terbit’. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.

Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.

Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.

simpanan wang

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

karangan tahun 6

Aku sebatang pen
                Aku Sebatang pen berjenama Pilot. Aku dilahirkan di sebuah kilang alat tulis Pilot yang terkenal di negeri Melaka. Badanku berwarna merah gelap. Darahku berwarna merah.
                Selepas aku diperiksa, aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Badanku dibalut dengan sekeping plastik. Kemudian, aku dan kawan-kawanku dimasukkan ke dalam sebuah lori untuk dihantar ke sebuah kedai alat tulis. Dalam perjalanan, aku telah berkenalan dengan ramai kawan-kawan yang baru yang berlainan jenama iaitu seperti Kilometrico, Faber Castell, Luna, Pappermate, Pelikan dan sebagainya. Perjalanan itu mengambil masa dua jam untuk tiba ke destinasi.
                Sebaik sahaja kami tiba di sebuah kedai alat tulis. Aku terus dipamerkan bersama barangan lain. Aku dipamerkan di dalam almari kaca bersama-sama dengan pen-pen yang berjenama daripada luar negara. Disitu, aku telah berkenalan lagi dengan kawan baru. Pada suatu hari seorang wanita bernama Linda datang membeliku. Rupa-rupanya Linda merupakan seorang guru.
                Linda selalu membawaku ke sekolah. Aku digunakan untuk menanda buku-buku latihan murid-muridnya. Linda seorang guru yang berdedikasi dan murah hati. Apabila rakan sekerjanya memerlukan pen, Linda akan meminjamkan aku kepada mereka. Kesemua rakannya memuji aku kerana darah merahku yang terang dan mudah digunakan. Begitu juga dengan Linda. Dia sangat menyukai aku. Linda menjaga aku dengan baik. Setiap kali selepas aku digunakan, aku akan disimpan dengan baik.
                Lama-kelamaan darahku mulai kering. Aku tidak dapat bekerja lagi. Linda berasa sedih kerana aku tidak dapat berkhidmat lagi kepadanya. Walau bagaimanapun, Linda telah menyimpan aku dengan baik di dalam sebuah bekas pensel. Aku berasa bangga mempunyai tuan yang baik hati seperti Linda. Kini tuanku Linda telah mempunyai pen yang baru.